TATACARA MENGURUSKAN KES-KES DOKTOR PERKESO DI HOSPITAL KKM

Pengenalan

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mempunyai dua skim utama iaitu Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan. Pekerja yang ditimpa bencana dan mempunyai caruman PERKESO adalah layak untuk memohon bantuan skim tersebut. Pesakit tersebut akan dirujuk kepada Jemaah Doktor Perkeso yang ditubuhkan di hospital yang berkaitan.

Sebelum dirujuk kepada Jemaah Doktor, pesakit perlu memohon Laporan Perubatan di hospital dengan menggunakan borang yang disediakan oleh Perkeso. Pemohon perlu membuat laporan bencana terlebih dahulu kepada Pejabat PERKESO yang berdekatan. Pihak PERKESO akan menentukan jenis borang Laporan Perubatan PERKESO mengikut tujuan tuntutan. Jenis Laporan Perubatan PERKESO yang biasa dibuat adalah seperti berikut:
  • Laporan Perubatan untuk tuntutan Faedah Hilang Upaya Kekal.
  • Laporan Perubatan Untuk Memohon Pencen Ilat
  • Laporan Perubatan Untuk Memohon Penyakit Khidmat

Pesakit akan menghantar Laporan Perubatan yang telah siap ke pejabat Perkeso untuk tindakan selanjutnya. Pihak Perkeso pula akan memaklumkan kepada pihak hospital yang berkaitan untuk menubuhkan Jemaah Doktor.

Jemaah Doktor ini adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan di bawah kuasa Menteri seperti diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969.

Tatacara Menguruskan Kes-Kes Jemaah Doktor Perkeso Adalah Seperti Berikut:

1. Penubuhan Jemaah Doktor PERKESO

Tidak semua hospital boleh menubuhkan Jemaah Doktor Perkeso. Hanya hospital-hospital negeri/pakar yang telah dikenalpasti oleh pihak Perkeso sahaja yang layak ditubuhkan Jemaah Doktor Perkeso.

Pihak Perkeso akan memaklumkan kepada pihak hospital yang berkenaan untuk menubuhkan Jemaah Doktor mengikut displin yang berkaitan. Pihak hospital akan menghantar nama Pegawai Perubatan yang akan dilantik sebagai panel Jemaah Doktor tersebut.

Siapa Yang Menganggotai Jemaah Doktor PERKESO?

Pengarah Hospital atau wakil sebagai pengerusi Jemaah Doktor. Panel lain terdiri daripada seorang Pakar yang berkaitan dengan penyakit pesakit dan seorang Pegawai Perubatan Kanan juga dari Jabatan Displin yang sama. Walau bagaimana pun, Jemaah Doktor boleh bersidang jika ada Pengerusi dan seorang Pegawai Perubatan/Pakar. Bagi kes pesakit khidmat/pekerjaan, perlu ada seorang pakar sakit khidmat sebagai panel. Ahli Jemaah Doktor hendaklah mereka yang tidak pernah merawat pesakit berkenaan.

Apa Peranan Jemaah Doktor PERKESO?

Jemaah Doktor melaksanakan peranannya selari dengan bidang kuasa yang diberi, mengikut kelayakan, terma dan syarat serta tatacara yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja, 1971.

Jemaah Doktor Perkeso akan menentukan tahap ketidakupayaan (disability) pesakit dan peratus bantuan yang patut diberikan berdasarkan beberapa Garispanduan yang dikeluarkan oleh Perkeso.

Antara garis panduan yang dirujuk ialah Guidelines on Impairment and Disability Assessment of Traumatic Injuries, Occupational Disease and Invalidity, Revised Second Edition 2010, buku rujukan Guidelines on the Diagnosis of Occupational Disease, Revised First Edition 2009 dan Manual Panduan Bagi Taksiran Hilangupaya Berdasarkan Pekerjaan Bagi Kegunaan Jemaah Doktor/Jemaah Doktor Rayuan PERKESO 2012.

2. Penetapan Tarikh Bersidang.

Pihak Perkeso akan meminta maklumbalas daripada Ketua Jabatan bagi menentukan kesesuaian hari untuk Jemaah Doktor bersidang sebagai jadual sepanjang tahun. Pihak Perkeso akan memaklumkan kepada Ahli Jemaah Doktor dua minggu sebelum tarikh bersidang.

Pembantu Tadbir Jabatan berkenaan sebagai urusetia mesyuarat.

3. Keputusan Jemaah Doktor.

Keputusan Jemaah Doktor akan dibuat pada hari yang sama selepas bersidang dan diserahkan kepada pihak Perkeso yang hadir untuk tindakan seterusnya.

Jika pesakit tidak berpuashati dengan keputusan Jemaah Doktor, mereka boleh membuat rayuan kepada pihak Perkeso untuk dirujuk kepada Jemaah Doktor Rayuan.

Jemaah Doktor Rayuan akan dianggotai oleh Pengarah Kesihatan Negeri, Pegawai Perubatan Pakar dan Pegawai Perubatan. Kesemua mereka tidak terlibat dalam Jemaah Doktor sebelum ini.

Rumusan

Ahli Jemaah Doktor memerlukan mereka yang mahir dalam menentukan tahap ketidakupayaan pesakit berdasarkan garispanduan yang dikeluarkan oleh Perkeso. Oleh itu usaha berterusan Perkeso memberi latihan dan bengkel kepada Pegawai Perubatan dapat meningkatkan perkhidmatan berkualiti, adil dan tepat.

Source: http://www.myhealth.gov.my/tatacara-menguruskan-kes-kes-jemaah-doktor-perkeso-di-hospital-kkm/

Comments

Popular posts from this blog

PERMOHONAN PENCEN ILAT KE PERKESO

6 SENAMAN KEKAL CERGAS DI PEJABAT